•
Bukan Omongan Kosong UUM Jadi Universiti Tersohor
UUM ONLINE: Lebih tiga dekad penubuhan Âé¶¹Ö±²¥ (UUM) sebagai universiti awam keenam di Malaysia pada 1984 membuktikan UUM mampu menjadi universiti tersohor pada masa hadapan.
"Cita-cita ini bukan omongan kosong, sebaliknya kita mampu untuk menjadikan ia sebagai satu kenyataan. Jadikan universiti ini tersohor dalam semua bidang.
"Ilham dan visi yang dicetuskan Perdana Menteri Ke-4 ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang digandingkan dengan faktor persekitaran pada masa tersebut telah membuahkan hasil memberangsangkan seperti yang telah kita capai hari ini," kata Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani di Dewan Mu'adzam Shah, hari ini.
Berucap pada Sambutan Hari Pengasasan Ke-36 UUM dan Perhimpunan Bulanan Staf, beliau berkata, setelah lebih tiga dekad UUM mengharungi ranjau dan duri sehingga dapat merasai kemanisan yang dikecapi kini, jasa yang telah dicurahkan pemimpin tanah air dan juga pemimpin di universiti ini tidak seharusnya dilupakan.
Menurutnya, semua Naib Canselor bermula dari yang pertama seperti Allahyarham Prof. Tan Sri Dr. Awang Had Salleh, Allahyarham Tan Sri Dr. Othman Yeop Abdullah, Dato' Dr. Shamsuddin Kasim, Prof. Dato' Dr. Mohammad Noor Salleh, Allahyarham Prof. Dato' Dr. Ahmad Fawzi Mohd Basri, Tan Sri Dr. Nordin Kardi dan Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak telah menjadikan UUM semakin menunjukkan taringnya apabila satu persatu kejayaan dicapai.
Katanya, selaku Naib Canselor yang kelapan, beliau berjanji akan memastikan universiti ini mara jauh ke hadapan dan menjadi universiti pengurusan yang disegani bukan sahaja dalam kalangan universiti tempatan, malah antarabangsa.
"Namun, saya tidak akan berjaya jika melakukannya secara sendirian, sebaliknya saya memerlukan sokongan yang kuat lagi padu daripada warga UUM bagi memastikan cita-cita kita menjadi nyata, malah UUM boleh sahaja menjadi 'Harvard of the East'.
"Di samping itu, mengingati Hari Pengasasan ini bukan sahaja penting bagi setiap warga UUM, malah tarikh ini amat penting untuk membantu dalam memacu momentum pergerakan dan pencapaian UUM," katanya yang turut menerangkan tentang antara inisiatif universiti seperti memperkasakan reputasi akademik, penubuhan BSD, memperkemaskan IPDM dan sasaran kebolehpasaran graduan kepada 90 peratus.
Tambah beliau, tarikh tersebut menjadi panduan dan iktibar kepada semua sama ada yang lama atau baharu berkhidmat dengan UUM untuk menghayati tujuan berada di universiti ini, seterusnya mengajak untuk memperbaiki kesilapan lalu serta menyusun langkah yang lebih kemas, mantap dan kukuh demi mencapai kejayaan cemerlang.
Justeru, katanya, diharap semua warga UUM dapat bersama-sama menggembleng idea dan tenaga untuk mencapai sasaran ditetapkan dan jangan sesekali lupa untuk menuai Ilmu, menyemai Budi dan menabur Bakti kepada nusa dan bangsa.
Pada majlis sama turut dilancarkan Sistem Bidaan Nombor Plat Eksklusif UUM yang mula dibuka mulai hari ini bermula jam 4.16 petang tadi sehingga 1 Mac depan serta pelancaran UUM X-Break.